Friday, December 12, 2014

Analisis Kepentingan Etika Dan Moral Kepada Manusia Zaman Ini.


Konsep Etika.

Konsep etika berasal dari perkataan Yunani iaitu ‘ethos’ dan ‘etikos’. Ethos membawa maksud sifat, watak, kebiasaan, tempat yang biasa, cara hidup atau budaya manakala  etikos pula bermaksud tatasusila, adab, kelakuan atau perbuatan yang baik. Menurut Thiroux (2001), etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan yang dilakukan seseorang. Etika ini bukan bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan falsafah moral yang mengambil kira tindakan atau tingkahlaku manusia. Etika memberi tumpuan  terhadap tingkahlaku individu, iaitu bagaimana manusia bertingkahlaku dalam sesuatu keadaan. Namun begitu, Ismail Ibrahim (Nazimuddin:2005) menyatakan etika merupakan suatu proses pemikiran tentang baik dan buruk berkaitan perilaku seseorang. Justeru dalam erti kata yang mudah etika ialah sistem yang berdasarkan akhlak atau tingkahlaku manusia. Manusia yang mempunyai etika yang baik mereka dapat membezakan perkara baik dan buruk.
Tingkahlaku atau tindakan manusia juga boleh dilihat secara yang sengaja atau tidak sengaja. Tindakan sengaja iaitu tindakan yang dilakukan dengan niat atau tujuan yang tersirat. Contohnya seorang penjaga menyorok barang jualan terkawal iaitu gula kerana beliau tahu harga barang itu akan naik harga apabila permintaan terhadap barang tersebut meningkat. Manakala tindakan tidak sengaja pula ialah tindakan yang dilakukan tanpa sedari atau dikawal oleh psikomotor kerana beliau tidak mahu stok gula di kedainya habis dan masa untuk mendapatkan stok barang mengambil masa yang lama. Oleh itu ,beliau membuat simpanan stok gula yang banyak dalam sesuatu masa.
Dalam bidang tingkahlaku, seseorang itu boleh bertindak secara dalaman atau arus kesedaran. Ini termasuk berunsurkan motif , nafsu dan niatnya. Tindakan luaran pula termasuk gerak geri fizikal badannya dan perwatakannya. Tingkahlaku yang dikaji termasuk tingkah laku individu dan pengaruhnya dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu,perkataan ‘etika’ dengan moral terdapat maksud yang berlainan. Etika menekankan suatu kajian tingkah laku moral manakala moral menyentuh tentang tingkah laku seseorang itu.

 Konsep Moral.

Perkataan moral berasal dari bahasa latin ‘mores’ bermaksud adat kebiasaan atau ‘moralis’ yang memberi maksud tingkah laku yang sejajar dengan tatasusila atau peraturan hidup bermasyarakat. Konsep moral membawa maksud kepada keupayaan mengenal perbezaan tingkahlaku mana yang benar atau salah. Konsep moral ini berkait rapat dengan kesedaran seseorang. Moral sesebuah masyarakat merujuk kepada perlakuan masyarakat tersebut dalam konteks mendukung nilai-nilai peradaban secara umum.
Dalam setiap masyarakat mempunyai adat resam, tatasusila atau tatahukum dan peraturannya sendiri. Setiap masyarakat mempunyai peraturan yang berbeza. Peraturan-peraturan sosial masyarakat ini wujud sama ada secara tertulis atau tersirat dalam sosial budaya setiap kaum. Peraturan sosial ini biasa digunakan sebagai kayu ukur sifat kemurnian individu itu dalam masyarakatnya. Sifat kemurnian ini termasuklah sikap amanah, kejujuran, kesucian, bertanggungjawab  dan sebagainya. Oleh itu, konsep moral merupakan sesuatu yang berkait dengan peraturan sosial sesebuah masyarakat yang diwujudkan di luar kawalan individu itu sendiri.
Menurut Dorothy (1979) beliau mengatakan bahawa manusia akan bergantung kepada tatasusila, adat, kebiasaan masyarakat dan agama bagi membantu menilai tingkah laku seseorang. Segala peraturan masyarakat mestilah diterima sebagai fakta-fakta kehidupan sosial masyarakat kerana peraturan ini akan menjadi garis panduan atau batasan dalam pergaulan dan hubungan antara satu sama lain.(James,1980)

  Kepentingan Etika dan Moral pada zaman ini.

Kepentingan Etika.

Pada masa kini,etika amat penting dalam segenap kehidupan manusia kerana etika akan membantu kepada pembentukan keharmonian, kesejahteraan dan kedamaian hidup. Kepentingan etika dapat dilihat dari segi individu, keluarga ,organisasi , masyarakat dan Negara.

Secara individunya, seseorang yang beretika akan dapat menikmati kebaikan fizikal ,rohani dan mental. Orang yang beretika akan sentiasa menjaga tingkahlakunya agar tidak bertentangan atau melaggar  kehendak masyarakatnya. Begitu juga dengan kemurnian hati dan kawalan emosi atau kualiti emosi yang membantu kepada pembentukan sifat-sifat sabar, pengasih, rasional, bertimbang rasa dan lain-lain lagi.
Dari segi mentalnya pula, orang yang beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan perhitungan buruk dan baik sebelum melakukan sesuatu. Dengan itu, jadilah ia seorang yang mempunyai sifat-sifat terpuji dan siasah diri yang unggul walau di mana ia berada kerana nilai etika telah membentuk falsafah hidup,gaya berfikir dan tindak tanduknya. (Nazirmuddin,2005).
Manakala sebuah keluarga yang mempunyai amalan etika yang tinggi bukan hanya wujud perasaan tanggungjawab yang tinggi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain malahan berjaya mewujudkan suasana mesra, aman, harmonis, kerukunan rumah tangga, keutuhan kekeluargaan dan setiap ahli keluarga akan berasa selamat dan bahagia. Sebagai contoh pasangan suami isteri perlulah ada sifat tolak ansur antara satu sama lain supaya keluarga mereka hidup aman damai tanpa sebarang konflik yang berlaku di dalam keluarga.
Nilai etika dalam sesebuah organisasi atau institusi amat penting. Seandainya seluruh organisasi memiliki nilai etika yang tinggi ,masalah pelanggaran disiplin organisasi seperti ponteng kerja, rasuah, penyalahgunaan kuasa, gangguan seksual dan sebagainya tidak akan timbul. Dengan itu lahirlah suatu budaya kerja yang positif  yang mementingkan produktiviti dan kualiti yang tinggi, persekitaran organisasi yang kondusif, semangat kekeluargaan dalam organisasi berkenaan yang menyumbang kepada peningkatan keutungan organisasi. Sebagai contoh, pada masa kini kebanyakan organisasi tidak kira sama ada kerajaan atau swasta mereka telah menetapkan etika bagi pekerjanya supaya matlamat organisasi mereka tercapai. Sebagai contoh organisasi perbankan , pekerjanya perlulah bercakap dengan sopan dan sentiasa melemparkan senyuman kepada pelanggan. Oleh kerana pengurusan organisasi juga mengamalkan etika yang tinggi keuntungan tersebut akan turut di kongsi bersama pekerja. Maka bukan sahaja organisasi yang menikmati kemakmuran itu tetapi pekerja juga turut terlibat. Organisasi yang memperolehi keuntungan yang tinggi akan berkongsi keuntungannya bersama pekerja dengan memberikan bonus atau ganjaran setiap hujung tahun.
Manakala bagi masyarakat dan Negara dengan adanya individu , keluarga dan organisasi yang beretika tinggi,masyarakat dan Negara juga akan turut mencapai faedahnya. Masyarakat akan menjadi lebih progresif ,aman, damai dan harmonis. Negara juga turut aman ,damai, maju dan mempunyai imej yang tinggi di peringkat antarabangsa. Selagi sesuatu bangsa itu dapat mengekalkan tahap amalan etika yang tinggi selama itulah bangsa itu akan  terus maju dan berkembang. Sejarah telah membukitkan perkara ini. Beberapa tamadun agung yang pernah mengukir nama akhirnya tumpas dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir, Rome , Abasiyah dan Umayyah, Melaka dan banyak lagi disebabkan oleh pemimpin dan ahli masyarakatnya sudah tidak bermoral dan beretika lagi.
Hubungan etika dengan persekitaran dan masyarakat sebagai contoh individu tidak perlulah melakukan perkara yang tidak baik yang bertentangan dengan norma masyarakat seperti mencuri, merogol, dan sebagainya. Hubungan etika dan moral secara langsung akan membentuk tingkahlaku seseorang yang berfikiran positif manakala seseorang yang bertingkahlaku negatif menunjukkan individu yang tidak beretika.
Dalam persekitaran kita, etika memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harmoni seharian. Ini kerana ia berkaitan dengan empat perkara utama iaitu etika dan kuasa, etika individu , etika undang-undang dan etika dan agama. Etika dan kuasa bermaksud seseorang individu akan menggunakan kuasa yang beliau ada mengikut saluran yang dibenarkan. Sebagai contoh , seorang anggota polis tidak boleh mendakwa atau menahan  seseorang yang disyaki penjenayah tanpa bukti yang kukuh kerana beliau akan melanggar etika dan bidang kuasa sebagai seorang anggota polis. Jika beliau melanggar etika sebagai anggota polis beliau boleh didakwa.
Etika individu pula merujuk kepada nilai etika yang ada dalam diri seseorang individu. Individu yang beretika tidak akan melakukan perkara yang akan melanggar norma masyarakat. Mereka biasanya akan menghormati diri sendiri dan orang lain dalam melakukan sesuatu perkara. Etika dan undang-undang menunjukkan bahawa individu yang beretika sudah pasti tidak akan melanggar batas undang-undang Negara. Sebagai contoh, seseorang yang beretika tidak akan melanggar peraturan seperti berhenti ketika lampu isyarat merah, memakai tali pinggang kelender, tidak memandu melebihi had dan sebagainya.  Etika dan agama ialah individu yang berpegang teguh kepada ajaran agama akan mudah melaksanakan nilai-nilai etika. Setiap agama mempunyai etika yang tersendiri mengikut kepercayaan mereka. Sebagai contoh, agama islam mempunyai etika ketika berpakaian. Etika berpakaian bagi lelaki dan wanita islam tidak sama. Bagi lelaki mereka wajib menutup aurat mereka daripada paras pusat hingga ke bawah lutut, manakala bagi wanita muslim mereka wajib menutup semua tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua pegelangan tangan mereka. Jika mereka tidak melaksanakan mereka akan dianggap berdosa dan melanggar peraturan dalam agama.


     Kepentingan moral.

Kesibukan dalam mengharungi kehidupan moden yang lebih berprinsipkan kepada pertimbangan materialistik ada kalanya manusia terlupa bahawa ada manusia lain yang hidup di sekeliling kita. Manusia kini menjadi begitu rakus  sehingga membuat sesuatu pertimbangan melebihi nafsu daripada akal fikiran yang telah dianugerah oleh tuhan untuk menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk sebelum membuat keputusan. Akibatnya manusia lebih mementingkan diri sendiri seterusnya melupakan tanggungjawab dan kewajipan untuk hidup dalam keluarga,agama ,masyarakat dan Negara.
Moral adalah penting dalam kehidupan manusia kerana ia dapat membantu manusia untuk mengenali mana yang benar atau mana yang salah. Ianya berkaitan dengan kesedaran tentang kekuatan yang mantap. Kombinasi ini akan melahirkan corak pilihan yang baik atau buruk. (Tam Yeow Kwai, 1996) Kepentingan moral ini dapat dilihat dari segi individu,keluarga,masyrakat dan bangsa.
Secara individu seseorang yang bermoral akan merasakan kehidupan aman dan sejahtera. Bagi menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera manusia perlukan kasih sayang, keselesaan, kedamaian, dan kestabilan. Sehubungan dengan itu, manusia mesti patuh kepada prinsip-prinsip kemoralan yang akan membawa kepada sikap bekerjasama diantara satu sama lain yang dapat menghindarkan diri daripada rasa takut dan kehilangan nyawa, dihina, dicuri harta bendanya, ditipu, disekat kebebasannya dan ditindas. Jadi sikap moral itu adalah asas untuk manusia hidup. Individu yang bermoral akan disenangi oleh masyarakat, apabila melakukan sesuatu aktiviti masyarakat akan memilih orang yang mempunyai sifat moral yang tinggi kerana mereka lebih dipercayai dalam melakukan sesuatu perkara dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat tidak akan memilih individu yang tidak bermoral dalam melakukan sesuatu perkara kerana mereka tidak mempercayai.
Tidak dapat dinafikan kesedaran bahawa manusia itu makhluk yang dijadikan Tuhan dan menikamati segala rahmat-Nya  menjadi asas utama untuk manusia itu bermoral. Setiap manusia yang waras sentiasa menyedari bahawa adalah lebih baik untuk membuat kebaikan daripada membuat kejahatan yang akan membawa kesukaan kepada diri sendiri dan sesuatu kebaikan yang dilakukan itu pasti mendatangkan kepuasan dan kesejahteraan kepada dirinya sendiri . Sebaliknya satu-satu kejahatan yang dilakukan lambat laun akan membawa akibat buruk kepada dirinya sendiri. Seseorang yang bermoral ialah seseorang yang telah menunaikan peranannya dengan berkesan. (Eow Boon Hin , 2003).
Kepentingan moral dalam kekeluargaan pula ianya akan menjadikan sesebuah keluarga itu dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram. Ini kerana segala masalah yang timbu daripada masalah delinkuen tidak akan terjadi. Keadaan emosi yang stabil dalam setiap ahli keluarga dapat mewujudkan suasana mesra, tolak ansur, bertanggungjawab akan menyebabkan kerukunan rumah tangga akan berkekalan. Hasilnya jurang generasi antara anak dan ibu bapa tidak akan berlaku. Oleh itu, keluarga dapat hidup aman kerana segala keperluan dapat dipenuhi seperti pengeluaran dan pengagihan barang.
Manakala bagi masyarakat dan negara ianya dapat mewujudkan masyarakat yang harmonis dan progresif. Ini kerana sifat kemoralan yang ada pada diri masyarakat dapat memupuk persefahaman , bertimbang rasa, tolong-menolong dan lain-lain lagi nilai yang baik. Dengan adanya individu, keluarga dan masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi telah menjadikan negara Malaysia terkenal di seluruh dunia yang mana budi bahasanya  rakyatnya adalah diantara satu simbol negara yang sangat dikagumi walaupun negara sudah moden dan membangun.

  Rumusan.

Pada zaman malaysia menjadi Negara sedang membangun atau Negara dunia ketiga banyak perubahan yang belaku tidak kira sama ada dari segi pembangunan, kemajuan teknologi , sikap manusia pada era globalisasi kini juga turut berubah. Kebanyakan manusia pada masa kini lebih bersifat materialistik iaitu lebih mementingkan duit atau kebendaan semata-mata daripada sifat kemanusiaan. Nilai etika dan moral semakin lama semakin lenyap mengikut peredaran masa. Semakin maju Negara semakin kurang nilai etika dan moral dalam diri masyarakat Malaysia. Hal ini kerana pada masa kini banyak kes jenayah seperti pembunuhan, rompakan, dan sebagainya berlaku tanpa ada sifat kemanusiaan.
           
Sehubungan itu, setiap masyarakat perlulah menanamkan nilai etika dan moral dalam diri mereka supaya negara menjadi aman damai dan sejahtera. Seterusnya pembangunan negara akan terus maju selaras dengan sikap masyarakat yang beretika dan bermoral tinggi. Apabila setiap masyarakat mengamalkan etika dan moral yang betul maka kes jenayah yang semakin berleluasa di Malaysia ini akan berkurangan dari semasa ke semasa.



  Rujukan.

Bertens, Kiki (2003) Etika dan Moral untuk Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur.
Penerbit Universiti Malaya.
Hena Mukherjee, Judy Ellis, Cheng Lee Hoo & Rajendran N.S (1992).
      Strategi Pengajaran Pendidikan Moral KBSM. Petaling Jaya.
      Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
http://books.google.com.my/books?id=o4rpRA1aFJQC&pg=PA169&lpg=PA169&
     dthiroux+2001&source=bl&ots=ZDbNfDYEfn&sig=Z-KLszsia61DA7WS4B-
     dTweybiM&hl=en&sa=X&ei=Gcd3Ut-
     VPIeWrAelqYHgDw&redir_esc=y#v=onepage&q=thiroux%202001&f=false

Nazirmuddin (2005). Pengantar Etika Edisi Ketiga, Kuala Lumpur : Pustaka
Budima.
Tam Yeow Kwai (1996). Pendidikan Moral: Konsep dan Program Pendidikan

Moral, Subang Jaya. Kumpulan Budima Sdn.Bhd.

1 comment:

  1. saya minta izin ya gunakan sebagai reference assignment saya. terima kasih

    ReplyDelete